nuffnang

Saturday, 7 May 2011

Sejarah Kampung Ku Sungai Sireh

          Menurut catatan, kampung ini telah dibuka pada tahun 1938 oleh pendatang daripada Pulau Pinang yang diketuai oleh Tuan Haji Syed Hassan bin Yusuff al-Mansur dan belaiu telah dilantik sebagai Ketua Kampung yang pertama.
          
          Pihak pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membenarkan kawasan paya untuk dijadikan sebagai kawasan sawah padi dan memberikan tanah kebun bagi dijadikan kawasan bercucuk tanam.


          Perkembangan seterusnya telah membawa kepada lebih ramainya penghijrahan ke kampung ini terutama daripada Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kepulauan Sumatera. Ini menjadikan pelbagai etnik telah mulai mewarnai kampung ini.

          Sebelum mendapat nama Kampung Sungai Sireh, ianya lebih sinonim dengan panggilan "kem" (khemah) atau lebih dikenali camp kerana semasa pendudukan tentera Jepun 1942 hingga 1945, telah menjadikan pusat pentadbiran di kawasan pusat desa dengan mendirikan banyak khemah bagi kegunaan tentera Jepun. bagi genarasi pertama kampung ini, panggilan "kem" ini masih bermain dibibir mereka bagi menyatakan penempatan kampung ini.

         Berhampiran dengan "kem" ini terdapat sebatang  anak sungai yang mengalir daripada Sungai Tengi dan bertindak sebagai kemudahan untuk penduduk tempatan untuk berulang-alik bermudik ke pekan Tanjong Karang. Di tebing-tebing sungai didapati banyak pokok sireh menjalar secara meliar. Penempatan penduduk yang ramai di pangkalan perahu dan di tebing-tebing sungai  telah memungkinkan menyebut "sungai sireh" sebagai tempat yuang dituju untuk urusan harian mereka telah mengantikan nama "kem". Maka bermulalah kawasan ini dikenali sebagai Kampung Sungai Sireh.

          Pada tahun 1948, Tuan Borrie selaku Pegawai Daerah Kuala Selangor telah melantik pula Tuan Haji Abdul Hamid bin Abdul Manan secara rasminya sebagai Ketua kampung yang baru bagi mengantikan Tuan Haji Syed Hassan bin Yusuff al-Mansuryang berhijrah ke tempat lain. Beliau telah menjadi ketua kampung pertma yang bertauliah dengan gelaran Tok Sidang. Setelah beliau meninggal dunia, tempatnya telah digantikan dengan Tuan Haji Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Tok Sidang Lah. Kini jawatan tersebut telah disandang pula oleh Tuan Haji Abdul Hadi bin Muhammad.

          Arus pembangunan negara Malaysia juga telah merubah kepada pertumbuhan pembangunan kampung. Banyak bangunan lama telah berubah wajah antaranya masjid jamek at-Tuqa, Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh dan pelbagai dewan masyarakat atau balairaya. Jalan-jalan tanah liat berubah menjadi jalan berturap tar. Perpustakaan desa telah menjadi keperluan masyarakat tempatan. Dulu lampu pelita menjadi teman setia kepada penghuni teratak, kini telah menukarkannya kepada limpahan cahaya yang  lebih terang apabila pengaliran tenaga elektrik pada tahun 1976. Jika dahalu telaga dan parit menjadi sumber punca air, kini telah mengubah cara kehidupan bagi mendapatkan bekalan air bersih. Begitu juga dengan perhubungan dunia luar semakin meluas apabila Syarikat Telekom Malaysia membuka rangakaiannya di sini.

          Terkini, sehingga blog ini ditulis apabila adanya jaringan wi-fi akan ditempatkan di Dewan Masyarakat An-Ni'mah, dan rasanya penulis mersakan amat teruja abapbila dunia tanpa sempadan akan berlaku di kampung ku ini....... Kampung Ku Sungai Sireh.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...